Saturday, July 31, 2010

MENGEJAR CITA-CITA




Dahulu…

Sejak dibangku sekolah lagi, guru akan bertanya, “apakah cita-cita kamu?”

Maka, berderetlah jawapan yang terhambur keluar dari mulut masing-masing. Tidak putus! Semangat mahu menyatakannya – “guru, polis, angkasawan, dermawan, usahawan cendawan” macam-macam.

Tetapi, jika ditanya pula, “apakah usaha kamu untuk cita-cita itu?”

Diam.

Sunyi sepi seolah terkelu lidah dek peluru persoalan itu. Tidak ketara, tetapi berkeringat kepala memikirkan apakah jawapannya.

Saya tertanya-tanya, adakah anak-anak kecil ini mengerti apakah itu cita-cita? Ataupun, ianya hanyalah angan-angan sahaja? Bukankah cita-cita itu harus disertakan dengan usaha kearahnya?

Ramai yang tidak jelas apa yang mereka mahu jadi pada masa akan datang sehinggakan, mereka hanya menurut sahaja apakah aliran yang telah ditetapkan. Mahu jadi peguam, tetapi duduknya di dalam kelas sains tulen.

Seharusnya, setiap cita-cita itu dibantu gerak oleh seseorang – ibu bapa, guru, keluarga dan sebagainya. Beri jalan yang jelas buat mereka. Tidaklah ada kekesalan pada masa hadapan.

Demi cita-cita, diri sendiri juga harus jelas. Walau sudah tua, masih ramai yang memasang angan-angan, bukannya cita-cita. Mahu merealisasikan cita-cita, ketepikan segala yang boleh merosakkannya.

Saya sendiri, terkadang ada yang mengatakan saya sebagai seorang yang zalim bila bertindak kejam mengatakan “TIDAK!” kepada sesuatu. Maaf, saya terpaksa mengutamakan diri sendiri dahulu sebelum orang lain.

Pentingkan diri sendiri?

Iya..saya pernah katakan, sikap pentingkan diri itu terkadang perlu. Bak kata pensyarah saya, “maaf, saya terpaksa bertindak kejam dengan menghalau pelajar berkenaan keluar demi kebaikan semua”. Jelas?

Hidup perlu dirancang, dalam apa jua aspek yang kita ceburi perlulah mempunyai matlamat yang jelas serta menyediakan langkah-langkah yang praktikal. Dalam mencapai cita, di peringkat apa sekalipun, kita perlu merancang mulai hari ini. Pada saat ini, pada ketika ini, jangan tunggu sampai esok.

Apa syaratnya?

KEBERANIAN!

Keberanian itu adalah syarat awal bagi memastikan sebuah kejayaan. Jika seseorang yang ingin mencapai cita-cita itu takut menanggung risiko dan tidak mampu berhadapan dengan ujian, selayaknya kamu berhenti dari memasang cita. Lagi besar harapan yang dibawa, lagi besar ujiannya dan lagi dalam kekecewaannya jika tidak berjaya. Berani?

Sebab itu, Tuhan meminta kita untuk bertawakal dalam segala hal. Berserahlah kepada Allah atas segala apa natijahnya kerana kita hanya perancang, Allah pula sebagai penentunya.

Kita manusia biasa, mahukan kejayaan, perlukan pengorbanan.

Sebelum menutup entri ini, ada satu kata cendikiawan yang tidak teringat apakah namanya. Kata beliau, “Jika kita terlalu memikirkan akibat ke atas sesuatu perkara, sampai bila-bila pun, kita tidak akan menjadi sesiapa”.

Selamat mengejar impian semua~

Foot Note : Entri ini adalah bersempena diri sendiri yang bakal mengkhatamkan pengajiannya dan sedang merancang dalam usaha mencapai cita sendiri. Pohon doa dari semua agar setiap yang dirancang berjalan dengan lancar. Amin ya Rabb~

3 comments:

Syahidah Mahassan said...

salam,

selamat menghabiskan pengajian,
selamat berkonvokesyen,
selamat berbakti pada masyarakat,

selamat untuk bersama-sama mengembalikan sinar Islam dalam apa-apa bidang pun yang kita ceburi..

hmmm, asalnya mahu jadi saintis, tapi tak boleh atas masalah kesihatan, hehe..

apa-apa pun tahniah!

Iliana said...

salam,

amin..mudah-mudahan termakbul doa itu hehe =p

suka biologi dulu, tapi tengok darah-darah, terus pitam..kui kui kui..

Idzni Zalika said...

Semoga kita semua dapat mencapai cita-cita masing2.

Aminn..hehe