Saturday, May 15, 2010

DUGAAN ITU ADALAH KEKUATAN



Haishh~ banyaknya sawang di sini. Lama sekali tuan rumah ini tidak mengemas rumahnya sendiri. Maaflah, kekangan masa dan ketandusan idea membuatkan saya terkial-kial untuk menaip.
Baru-baru ini, saya telah menjalani pembedahan arthoscopy di lutut kanan saya. Selama empat hari menginap di Hospital Sultanah Bahiyah, di katil nombor 17 wad Kenanga 3D (nombor 17 adalah nombor kegemaran saya) adalah satu pengalaman baru buat saya yang akan saya kenang sampai bila-bila. Pengalaman ini jugalah yang telah mengubah diri saya terhadap seseorang yang bergelar DOKTOR!
Sebelum ini, saya pernah nyatakan bahawa saya takut akan doktor. Bila saya nampak golongan ini, saya akan terbayangkan kesakitan. Jika di Indonesia, hospital atau klinik dipanggil Rumah Sakit. Ahh~ itu cukup melambangkan bahawa kesakitan akan melanda penghuninya. Dalam masa yang sama, saya sendiri tahu bahawa saya bukanlah seorang yang tahan kepada kesakitan. Namun, pengetahuan itu ternyata meleset.
Selama di hospital, saya tidak merasakan kesakitan melampau. Walaupun doktor telah tersalah cucuk tangan saya yang mengakibatkan darah menitik hingga ke lantai, saya masih diam tanpa kerutan di muka. Malah, ketika melihat pakaian untuk pembedahan di depan mata hinggalah ke bilik pembedahan (OT), saya berasa sangat tenang – Alhamdulillah (syukur kepada Allah) atas kemudahan yang diberi-Nya kepada saya.
Doktor Abdul Samad dan Doktor Chai. Dua nama yang berjasa besar kepada saya. Pembedahan yang biasanya memakan masa 45 hingga 90 minit, rupanya menjadi 180 minit (3 jam) bagi saya. Mungkin ada masalah ketika pembedahan yang menjadi rahsia warga perubatan di sana. Apa pun, saya tidak merasakan sakit kesan pembedahan dan boleh memijak lantai seperti biasa – Alhamdulillah.
Namun, ianya tetap perlu dijaga, mungkin tidak sakit tetapi tetap member kesan dalam proses pemulihan. Makanya, seperti anak kecil yang baru pandai berjalan, saya perlu menggandakan tahap keselamatan terhadap kakibagi mengelak dioperasi buat kali ke-dua.
Saya tidak dapat menipu diri sendiri – saya merindui suasana dan mereka yang berada di hospital berkenaan. Layanan yang ramah dan ceria membuatkan saya turut gembira dan lupa dengan apa yang bakal saya lalui. Jiwa saya, jiwa yang masih suka bermain-main. Doktor berkenaan juga masih mampu melayan perangai saya yang awalnya dia sendiri berkata bahawa saya ini pelik orangnya.
“Awak buat apa tu?”
(Saya yang tersenyum sambil buat peace)
“Awak tak nak ubat langsung?”
“Tak nak la doktor, bukan makan pun nanti”
“Takpe la, awak ni saya tak risau sangat sebab bila sakit, awak gelak”
Bagi saya, sakit itu bukanlah satu bebanan tetapi suntikan kekuatan. Jika sakit, kita menangis, bukankah ianya akan lebih menyakitkan? Ketika saya baru jatuh dan menahan kesakitan, saya hanya diam seribu bahasa hinggalah rakan yang menemani saya jadi kerisauan. Tetapi, hakikat yang sebenarnya, saya tidak pandai menjerit seperti orang lain.
Ketika saya ingin melangkah keluar dari wad, ramai yang melambai mahu bersalaman dengan saya. Ohh~ terasa seperti artis pula. Bila kita berada dalam wad, saya rasakan seperti kami adalah satu keluarga. Sentiasa membantu, sentiasa mengambil berat, sentiasa mendoakan tatkala melihat ada yang akan ke OT. Sebab itulah, saya merindui mereka.
Sepanjang di sana, sempat jugalah melihat doktor praktikal yang diuji oleh pensyarahnya. Fiuhhh~ terkesima jugalah saya. Punyalah garang pensyarah tersebut sehingga kelu lidah doktor praktikal berkenaan. Sungguh payah kalian mahu mendapatkan gelaran Doktor. Tetapi, jasa kalian itu sangat besar impaknya buat kami semua.
Doktor Abdul Samad, Doktor Chai dan para staff jururawat termasuklah makcik cleaner di wad Kenanga 3D, terima kasih banyak-banyak.
Dan, sejak itu, saya sangat mengkagumi mereka yang berada dalam bidang perubatan – TAHNIAH!
Sejak itu jugalah, baru saya sedar bahawa saya mampu menahan kesakitan. Maka, saya adalah lebih kuat dari sebelum ini yang menurut kelemahan diri sendiri bukannya belajar menanganinya. Sungguh, Allah itu Maha Kaya, Maha Bijaksana sehinggakan saya tidak mampu membaca perancangan-Nya.
p/s : jika ada sesiapa yang boleh memberi nasihat kepada pesakit yang mengalami masalah dislocated knee dan baru sahaja lepas menjalani pembedahan arthoscopy dalam memastikan kesihatannya, saya ucapkan jutaan terima kasih (^_^) sebab, saya juga dikenali sebagai seorang pesakit yang degil (^_~)

2 comments:

nahmy said...

alhamdulillah...semuanya Allah permudahkan. jgn berasa 'kuat' sgt...ikut nasihat doktor, emak-abah dan makan ubat tu. doa pada-Nya jgn lupa. semoga segera sembuh

Iliana said...

alhamdulillah..tidak sama sekali..saya tidaklah berasa kuat sangat...sekurang-kurangnya saya perlu berasa kuat..insyaallah akan mendengar nasihat hehe..

terima kasih ^^