Saturday, March 27, 2010

TRAGEDI PILATUS PC-7

Salam hormat semua~

Saya rasakan, ramai yang sudah sedia maklum akan peristiwa gugurnya Pilatus PC-7 di UUM Khamis lalu (25 March 2010) dalam upacara perasmian Karnival Konvokesyen ke-23 UUM. Ya, saya turut berada di sana. Menyaksikan satu tragedi yang mungkin tidak akan saya lupakan. Ianya tidak sama rasanya jika kita hanya sekadar membaca di dada-dada akhbar, menonton di kaca tv atau mendengar di corong radio. Bilamana ianya diperlihatkan secara langsung, secara ‘real’ di depan mata sendiri, ia adalah satu perasaan ngeri dan pilu.

Masakan tidak, seorang yang bersungguh-sungguh berlatih untuk menghadiahkan sebuah kegembiraan kepada serumpun manusia, rupanya ia adalah benar-benar satu pengorbanan. Pengorbanan yang patah tumbuhnya, hilang tidak akan berganti.

Seperti satu tindakan reflex di luar sedar, kaki turut bersama pantas melangkah meninggalkan stadium untuk ke tapak kejadian. Setiap langkah yang diolah, di dalam hati hanya beristighfar dan meminta,

“Ya Tuhanku, Engkau selamatkanlah orang itu. Aku memohon pada-Mu ya Allah”
Duduk di bawah terik mentari sehingga lencun baju, hati resah sehingga ada berita mengenai penerbang pesawat berkenaan. Melihat segerombolan demi segerombolan manusia yang keluar dan masuk, hati bertambah tidak keruan. Apakah gerangan keadaannya?

Penantian berakhir setelah helikopter milik TUDM datang lalu pergi. Saya terus mendapatkan seseorang untuk mendapatkan berita. Dan apa yang diperkata, membuatkan jiwa diruntun pilu.

“Angkat naik pelastik hitam dah”
Siapa sangka, penerbangan akrobatik yang difikirkan sedang membuat kejutan, rupa-rupanya itulah kejutan terbesar dari persembahannya. Ada yang berkata, mungkin akibat perbezaan tahap tekanan udara secara mendadak menyebabkan pemandu pengsan.

Dan saya berharap itulah keadaannya sebelum bertemu dengan Bumi. Biarlah dalam keadaan tidak sedar. Pilatus PC-7 tidak dilengkapi ‘eject seat’ yang membolehkan penerbangnya menyelamatkan diri jika mengalami masalah teknikal. Jawapanya hanyalah sebuah kematian.

Melihatkan terbangya seekor camar putih ke sana sini dan sekepul awan putih tegak di atas kawasan kejadian, saya bersangka baik. Beliau sedang dilindungi dari teriknya mentari dan beliau seorang hamba yang baik orangnya. Amin~

Sesungguhnya, bagi mereka yang sanggup mempertaruhkan nyawa walau bukan di medan perang, itu adalah satu dalam sejuta.

Wahai rakan semua, seandainya kalian mempunyai sedikit rasa mengenai hal ini, ringankanlah lidah untuk menghadiahkan Fatihah atau bacaan Yassin atau Tahlil buat arwah. Dan hanya ini sahajalah yang mampu saya lakukan sebagai ucapan terima kasih di atas kesudian beliau untuk hadir dan berkorban demi sebuah kegembiraan serta kegemilangan.

Kronologi pesawat Pilatus terhempas

11 September 2009 - Mejar Zulkifli Hassan, 38, dan Mejar Mohd Roszaini Mustafa, 37, terbunuh apabila pesawat terhempas di Langkawi.

16 Disember 2004 - Nahas pesawat latihan Pilatus PC-7 mengorbankan Leftenan Amnart Summok, 23, dan jurulatihnya, Mejar Alias Bakar, 36, di Kampung Titi Besi, Kepala Batas.

27 Mei 2004 - Leftenan Mualimin Jasid, 23, terbunuh apabila pesawat Pilatus PC-7 terhempas di Kampung Padang Gelanggang, dekat Jerlun, Kedah.

12 Ogos 2003 - Pelatih penerbangan KTU, Leftenan Mai Elmy Sefrina Jalaluddin, 22, terkorban selepas pesawat Pilatus terhempas di Jalan Bukit Kayu Hitam-Changlun, Kedah.

12 April 2001 - Seorang juruterbang jurulatih TUDM terbunuh apabila Pilatus PC-7 TUDM terhempas di Kampung Kepala Parit Dalam, Tokai, Pendang.

12 Julai 1993 - Juruterbang pelatih TUDM, Leftenan Muda Mohamad Nazri Amran, 21, terbunuh apabila pesawat terhempas di sawah Kampung Chemumar, Tambun Tualang, Perlis.

31 Januari 1992 - Pesawat Pilatus PC-7 terhempas dalam Sungai Kemaman, Terengganu menyebabkan juruterbangnya terbunuh.

25 September 1990 - Leftenan Muda Faizal Muhammad terbunuh apabila pesawat merempuh asrama di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.

September 1984 - Leftenan Muda S Thulasiram terbunuh selepas pesawat TUDM terhempas di Kampung Bukit Rambai, Pendang, Kedah.

4 comments:

khairil said...

ada tengok video terhempas ni kat youtube..apa2 pun takziah kpd keluarga mangsa

farhanaLicious said...

sedih betul tgk video tu. apa pun, takziah.

Iliana said...

khairil dan farhanalicious :

harap-harap video yang kamu tengok itu bukanlah video jenazahnya ya~ sebab ada insan tak beretika menguploadkan video jenazah ke dalam youtube..sungguh tidak patut..

setiap kali terkenang, jiwa kembali pilu..terasa seperti mahu memutar masa kembali..bukan kuasa kita kan..

al-fatihah~

suara said...

Salam dik Iliana....

Ajal setiap dari kita telah ditentukan caranya oleh Allah.

Moga Allah meletakkan beliau di kalangan hambaNya yang dikasihi.

p/s: teringat kisah-kisah misteri yang diceritakan oleh teman tentang bilik yang dirempuh oleh Leftenan Muda Faizal. Betul atau tidak, hanya Allah yg tahu...