Friday, January 29, 2010

MAAF ITU NILAINYA DI BIBIR ATAU DI HATI?

Membuat kesilapan dalam kehidupan itu sudahpun dianggap sebagai lumrah, seperti isi dan kuku yang mustahil sama sekali untuk terpisah. Pensyarah saya sering menggalakkan pelajar-pelajarnya membuat kesilapan. Bagi beliau, pelajaran yang sebenar hanya timbul melalui pembetulan ke atas kesilapan. Dan, kebiasaannya, itulah yang akan lebih lama terlekat di dalam minda berbanding pembelajaran yang menggunakan kaedah lain.

Memandangkan wujudnya kesilapan, wujudlah juga perkataan MAAF bagi membetulkan kesilapan tersebut. Tetapi, perkataan ini tidak praktikal untuk digunakan jika guru menyuruh anda membuat pembetulan ke atas kerja rumah ya!

Ringannya bibir mengungkap perkataan MAAF membuatkan manusia leka, lalu memikirkan bahawa ianya adalah jalan mudah bagi membetulkan kesilapan. Oh ya, entri ini bukanlah susulan ataupun maklumbalas percuma penulis mengenai kes penulis blog Aduka yang menyerah diri baru-baru ini ya. Ianya hanyalah satu kebetulan sahaja.

Kesalahan besar mahupun kecil, ungkapannya tetap sama; MAAF. Maka, samalah ya antara kedua-dua kesalahan berkenaan. Kalaulah semudah itu, semua orang pun akan gemar melakukan kesalahan memandangkan jalan penyelesaiannya yang terlalu mudah.

Tetapi, benarkan perkataan MAAF yang terlafaz itu lahirnya dari sekeping hati yang benar-benar mengakui kesilapan tersebut? Bayangkanlah, jika kita terketuk kepala seseorang, seperti tindakan reflex terus sahaja kita tunduk lalu memohon MAAF kepada individu tersebut. Padahal, di dalam hati berbisik, “padan muka kau hahaha”.

Ada pula yang menudu-nudu menangis memohon MAAF, memanjat doa kepada Yang Maha Esa memohon maaf. Usai sahaja sesi berdoa, tak lama kemudian diulanginya kembali. Adakah maaf yang diminta itu ikhlas?

Adat keluarga saya, jika mahu memohon maaf, pastikan kesilapan yang ingin dimaafkan itu dinyatakan dengan jelas. Tidak memadai hanya dengan, “selamat hari raya, maaf zahir dan batin” atau “ ampun maaf atas segala salah dan silap”. Tetapi, tebal atau tidak muka ini, pernyataan maaf seharusnya begini,

“Mak, minta maaf sebab saya dah curi-curi keluar dating. Akak, minta maaf sebab dah pakai baju gaun kamu senyap-senyap. Tapi, tak muat pun.”

Di dalam Islam, digariskan cara-cara memohon keampunan dan rahmat Allah s.w.t :

1. Menyesal, menginsafi dan berazam tidak akan mengulangi dosa yang telah dilakukannya

2. Beristighfar memohon keampunan Allah s.w.t

3. Beramal kebajikan

4. Mensyukuri nikmat Allah s.w.t.

5. Berdoa memohon kesejahteraan hidup di dunia dan hari Akhirat

Yang perlu memafkan juga seharusnya ikhlas. Janganlah bila orang datang memohon maaf, terus sahaja kita jawab, “aku maafkan”. Walhal, dalam hati masih tersisa dendam kesumat yang dah bersemat-semat. Biarlah kita jujur memberitahu, “aku masih lagi tak dapat nak maafkan kau, tapi kau janganlah risau ya”. Dalam masa yang sama, kita cuba memaafkan dia.

Okay, oleh itu, penulis juga mahu memohon maaf kerana diri saya sendiri juga perlu mempelajarinya (^_^)>

Selamat bermaaf-maafan tulus dari hati~

2 comments:

alien said...

maaf lama x menjenguk

Iliana said...

ngehehehe =p dgn ikhlas hati, maaf diterima =}