Wednesday, January 6, 2010

GUNUNG YANG BERNAMA ‘KEHIDUPAN’

Saya mendengar lagu ‘The Climb’ dendangan Miley Cyrus. Terasa impak liriknya ke atas diri sendiri. Pendakian ini bukanlah mengenai berapa pantas kita ke puncak. Tetapi, apa yang menanti kita di puncak sana.

Kadang-kadang terasa juga lelahnya helaan nafas yang tercungap dan semakin kekurangan kadar oksigen segar dalam diri. Kadang-kadang terasa seperti mahu lari ke sebuah kawasan seperti lahu ‘A Land Called Paradise’ dendangan Kareem Salama. Dalam sesaknya hari-hari, saya mula memuhasabah diri melalui lagu ‘Awaken’ dendangan Maher Zain. Alangkah banyaknya ganjaran yang telah diterima tetapi terkadang terlupa untuk memanjat kesyukuran – Masyaallah.

Saya terimbas kenangan ketika mendaki ke puncak Gunung Jerai satu ketika dahulu. Memang meletihkan. Terasa seperti bekalan yang dibawa bersama tidak mencukupi. Samalah seperti diri sendiri di saat ini. Mungkin bekalan iman dalam diri masih tandus, sehingga menyebabkan saya keletihan dan terlepasnya keluhan – Astagfirullah.

Kalaulah mata ini bisa melihat gunung kehidupan yang sedang didaki, pastinya diri ini lebih bersemangat. Sama seperti jika kita bisa melihat ganjaran pahala secara kasar, pasti semua terkejar-kejar mahukannya. Tapi, kita tidak dianugerahkan hal sedemikian. Kita harus meraba dalam kegelapan jika mahukan kecerahan. Atau, hanya duduk di situ dan terus di landa kesuraman kehidupan.

Walau letih sekalipun, perjalanan tetap harus dilakukan. Jika tidak, kita akan tersekat ditengah ketinggian gunug yang helikopter pun sukar untuk datang membantu. Kecuali, kita di puncak, pelbagai usaha boleh dilakukan dan ianya lebih mudah. Bukankah itu menyenangkan. Jadi, apa pilihan kita? Mahu berhenti kepenatan dan kesusahan sepanjang hidup atau meneruskan pendakian dan kesenangan sepanjang hidup?

Seperti yang selalu diingatkan, hidup ini memerlukan alternatif. Maka, saya memandang adalah tidak salah jika kita mahu berhenti atau berehat ketika mendaki. Tetapi, apakah perancangan kita di titik berhenti tersebut? Mungkin kita boleh membangunkan kawasan tersebut dan akhirnya menjadi perintis seperti Datuk Lim Goh Tong yang berjaya membina empayarnya di puncak gunung bernama Genting Highland.

Saya mengimbas kembali pendakian Gunung Jerai saya. Orang kata, ketika kita bersekolah, kita rasa sangat susah dan gemar memberontak. Tetapi, bila kita di alam pekerjaan, kita akan melihat bahawa zaman itu adalah zaman terindah kita. Saya turut merasainya. Ketika bas membawa kami pulang dari kaki gunung, kami melihat kembali gunung itu. Di dalam hati terdetik dan berbisik,

“Siapa sangka, kita dah berjaya mendaki gunung setinggi ini. Ianya sangat berbaloi”

Di bibir, tidak lekang terukirnya senyuman kepuasan. Mungkin, sehingga terlenanya saya di atas kerusi empuk bas berkenaan.

Maka, jika anda mahu membayangi pendakian gunung kehidupan kita, kenapa tidak, anda cuba sekali juga untuk mendaki mana-mana gunung. Anda akan dapat merasainya.

Tiba-tiba, saya tersentak. Rupanya, ada sebab mengapa Allah s.w.t menyembunyikan sesuatu daripada kita. Tetapi, anugerahnya itu ada di mana-mana seperti lagu ‘Open Your Eyes’ dendangan Maher Zain. Jika kita buka mata kita luas-luas, akan nampaklah sesuatu yang tersembunyi. Sebenarnya, kita boleh merasainya jika kita mencari dan terus mencari – Subhanallah.

1 comment:

IRIS said...

Sungguh aneh kehidupan ini kadang-kadang kan....


selamat berjaya