Tuesday, November 17, 2009

BUKAN SALAH BUKU, TETAPI MINDA

Jika saya bertanya, “berapa buahkan buku yang and abaca dalam satu tahun?” Jika saya bertanya lagi, “buku apakah yang menjadi santapan anda?”

Kajian Puan Ainon dari syarikat buku PTS mendapati, rakyat Malaysia menghabiskan hanya lapan buah buku sahaja dalam masa satu tahun secara puratanya. Aduhai, memadaikah nilai itu? Agaknya, tebal manakah pula buku itu? Adakah ianya hanya setebal 20 muka surat? Atau pun, setebal 2000 muka surat?

Mengapa sukar sekali mahu membaca? Saya sendiri, acap kali mengalami sindrom kelayuan mata ketika meratah setiap baris ayat sebuah buku. Akhirnya, buku tertangkup di atas muka, lalu saya mengembara ke alam lain yang penuh fantasi mimpi lalu melelehlah air liur basi.

Adakah ianya disebabkan oleh faktor keceriaan buku itu sendiri? Buku yang berwarna-warni, diselitkan pula dengan gambar-gambar yang berkaitan, pasti lebih menarik perhatian untuk dibaca. Bayangkanlah, jika sedang mata cuba ditongkat dari terkatup, tiba-tiba terpampang sebuah gambar yang sungguh menarik. Pasti terus segar mata seperti baru sahaja ditekan ikon refresh. Jauh sekali bezanya dengan buku yang hanya bertemakan hitam-putih yang hanya menyumbang kepada proses peniduran.

Tetapi, salah buku itukah? Bagaimana pula ilmuan zaman dahulu kala mampu menghadap timbunan buku yang hanya penuh dengan tulisan di atas kertas buruk? Malahan, pencahayaan juga kurang memberangsangkan. Jadi, salah buku atau salah diri sendiri sebenarnya samada mahu membaca atau tidak? Walau bagaimanapun, demi meningkat minat membaca kita, tidak salah mengambil langkah yang mampu mengalih arah angin minat membaca. Menurut kebanyakan kajian psikologi, warna warni dapat merangsang otak untuk bertindak lebih aktif.

Mungkinkah juga ianya adalah disebabkan oleh bahasa yang terlalu tinggi dan sukar difahami? Saya bukanlah seorang yang mahir dalam Bahasa Inggeris. Baru-baru ini, saya membaca buku rujukan International Marketing yang teramat tinggi bahasanya. Dan itu hanya menyumbang kepada penambahan proses pembacaan dan pemahaman saya kerana kerap kali perlu membuka kamus. Begitu juga dengan bahasa ibunda sendiri – bukan calang-calang orang dapat memahami sebaris kata A.Samad Said mahupun Za’ba.

Tetapi, bukankah proses pembacaan itu juga merupakan proses pembelajaran? Jika tidak terdesak, mahukah saya bersaja-saja membuka kamus dan membacanya seperti membaca buku cerita. Saya percaya, peratusan untuk melakukan sedemikian hanyalah 0.5% dalam diri saya. Kita harus tahu, penggunaan bahasa dapat melambangkan kedudukan kita. Buktinya, lihat sahaja bahasa yang digunakan oleh golongan Mat Rempit, golongan remaja, golongan penagih, golongan korporat dan sebagainya. Mereka semua mempunyai kepakaran bahasa yang berbeza. Hanya dari bahasa, orang tahu siapa kita.

Namun, secara peribadinya, saya gemar menggunakan bahasa ringkas atau bahasa yang biasa-biasa sahaja dalam penulisan. Yang penting adalah mesej yang disampaikan dapat diterima dengan baik. Jika kita bertutur dengan bahasa yang terlalu saintifik, nescaya yang mendengar itu pun hanya tercengang kosong dan yang bertutur pula di kira sebagai syok sendiri.

Persekitara juga memainkan peranan dalam memupuk minat membaca. Saya gemar membaca dalam suasana sunyi – jangan ada sedikit kebisingan pun kerana saya tidak suka jika saya membaca tetapi saya tak faham apakah ia. Saya pernah mempunyai rakan sebilik yang malas solat dan mengaji. Tetapi, apabila dia melihat saya yang solat dan mengaji, dia turut sama (ini bukan berunsurkan memuji diri sendiri, tetapi hanya sebagi contoh peribadi). Saya percaya, begitu juga dengan amalan membaca. Jika kita pergi ke sebuah kawasan yang majoritinya sedang asyik membaca, tidakkah kita terasa janggal jika tiada buku di tangan? saya bersetuju persekitaran memainkan peranan penting dalam memupuk budaya membaca. As-Syahid Al-Imam Sheikh Hasan Al-Banna, pengasas Ikhwanul Muslimin, dalam usaha menyemai budaya membaca kepada anak-anak beliau, menghadiahkan mini library kepada setiap putera dan puteri beliau.

Tun Dr. Mahathir Mohamad antara seorang pemimpin yang kagumi umum sebagai seorang strategist thinker, dengarnya membaca sebuah buku walau didalam tandas. Bill Gates, billionaire no. 1 dunia dalam bukunya Business at The Speed of Thought menegaskan, siapa yang menguasai maklumat, menguasai dunia. Apakah lagi sumber maklumat jika bukan dengan membaca? Islam sangat menggalakkan budaya membaca, lihat sahaja sumber rujukan utama seorang Islam, Al-Quran dan Al-Hadith. Kedua-duanya perlukan bacaan, bukan sekadar untuk dilihat atau didengar. Umat membaca akan menguasai maklumat,dalam erti kata lain, menguasai ilmu. Apa lagi yang lebih bernilai daripada emas selain ilmu yang bermanfaat. Memetik kata Robert T.Kiyosaki, jika anda memilih untuk melabur, melaburlah pada aset no. 1 anda kurniaan tuhan yang percuma, otak. Lihatlah bagaimana bangsa Jepun mampu bersaing dengan Amerika walaupun mereka dahulunya jauh ketinggalan. Jelas membaca bukan sekadar hobi yang menjadi pilihan, tetapi keperluan setiap insan. (Kredit kepada saudara Juraji)

“What You Read is Who You Are”

Jean Anthelme Brillat-Savarin, seorang peguam dan ahli politik Perancis dalam bukunya bertajuk The Physiology of Taste menulis.

“Tell me what you eat and I will tell you what you are”

Membaca itu merupakan satu hiburan sihat dan murah. Kini, pelbagai sumber bacaan terhidang di depan mata. Antara mahu atau tidak sahaja untuk kita menjamahnya. Otak kita juga memerlukan makanan. Menggerakkan otak melalui pembacaan, itulah makanannya. Jika kita tidak menggiatkannya dengan berfikir, maka berkaratlah ia, lalu mati.

Maka, dengan nama Allah yang menurunkan al-Quran, dan terkandung segala ilmu di dalamnya, dengan turunnya perkataan iqra, ayuh membaca.

6 comments:

Syahidah Mahassan said...

hmmm, salam

bahan bacaan saya tak menentu, buku adik-adik di rumah pun kadang-kadang saya layan

kalau tertekan di kampus ni, bawa kira-kira RM 50, naik bas seorang diri, pergi sahaja Borders atau Popular di Penang ni, habislah duit saya di situ,

hendak kata terapi tak tahulah, yang pasti antara makanan dan buku, saya lebih menyesal kalau makan makanan yang mahal, haha

tapi serius buku pelajaran berbahasa Inggeris haruslah dihadam sambil membuka kamus, lagi-lagi bertambah nahu,

tapi sejak akhir-akhir ni seperti tiada kepuasan untuk membaca di ruang maya berbanding pegang sendiri buku tu,

bagaimana ya mahu diperbetulkan minda masyarakat yang kurang membaca, mujur sahabat-sahabat saya juga suka membaca, jadi kami bertukar-tukar buku, lagi-lagi bila kebosanan,

oh ya, saya bertukar url blog lagi, hehe

http://syahidahmahassan.blogspot.com/

sangat rindu untuk memberi komen di blog sahabat maya, huhu,

Perokok Soleh said...

salam...

aku setuju dgn kajian puan ainon,hehee....

1-orang mesia,bila orang baca komik...xbagi,beza dgn jepun..hoho

2-bila berbeza pemikiran,seseorang xkan baca buku orang yg berlawan dgnnnya...cth:-orang pas xnak baca buku dr M,orng umno xnak baca buku tok guru..padahal bacakan dpt ilmu,hohoho

3-membaca memang best...tp sebenarnya hnya orng yg membaca je tahu nikmat membaca macam orang merokok...heeheh

itulah kajian aku,heeheh...

ps:-aku xbaca buku kuliah lagi..tp sibuk2x baca blog orang..
blog xupdate tp sibuk2x lagi baca blog orang,hehee....

Iliana said...

syahidah mahassan :

salam..
saya juga rindu mahu menulis di blog hehe~

saya selalu ingat bahawa buku itu adalah hiburan termurah. tapi, berkhasiat~

saya juga selalu berkunjung ke kedai-kedai buku dan satu fenomena yang saya pandang adalah, yang duduk menyelit di tepi-tepi rak buku, yang duduk di atas lantai membaca, bukannya golongan Melayu.

saya suka mempamerkan buku saya di ruang hadapan rumah. biar mereka tertarik untuk membaca juga hehe..rak buku di rumah saya, hanya di sebelah peti TV =p

Iliana said...

perokok soleh :

salam..
ermmm sama la..padahal esok je exam kot huhu..ok ok, balas komen je sekejap hehe =p

yang PAS tak nak baca buku Dr.M dan sebaliknya itu adalah satu kerugian besar. dalam mengatur strategi persaingan, bukankah kita perlu tahu kelemahan lawan dan apakah pula kekuatan mereka?

teringat seorang sahabat saya dari Indonesia yang berjalan-jalan membawa Bible. orang yang berfikiran cetek memandang dia sebagai murtad. tapi, sebenarnya dia mahu berbahas dengan golongan Kristian. dan akhirnya, kemenangan adalah milik dia kerana tahu apa yang berlaku kepada agama tersebut hanya dengan dua soalan sahaja.

membaca memang nikmat~ huhu

13may said...

saya suka baca buku tamar jalis :D

Iliana said...

erkkk...buku apa tu? huhu~