Friday, June 18, 2010

RE-POST : KAMU TETAP AYAH (sempena Hari Bapa)

Duduknya saya di pondok kecil mengimbas kembali semua kepahitan dan kemanisan kisah silam. Terkadang, imbasan itu hadir seperti sebuah plot drama yang entah apa tajuknya. Namun, yang saya pasti, dan tersangat pasti, kisah itu hanya merundung sedikit pilu dan sebak yang menyesakkan dada sehingga terhelanya keluhan kecil walau puas cuba ditahan.

Segala yang manis, tidak pernah tawar, sentiasa tersemat di kotak hati.

Masih jelas di ingatan…

Petang itu kami adik-beradik bersama Abah ke parit bermain air. Lalu tercetus idea kreatif Abah untuk membina rakit. Malangnya, di kawasan itu tidak ada rimbunan buluh yang merupakan bahan teras sebuah rakit. Kekreatifan Abah tidak mati di situ. Mata kami serentak tertumpu ke arah serumpun pokok di tepi parit yang susuknya persis Si Buluh. Ya, barangkali menggunakan pokok ini kami dapat mejayakan misi pada petang itu. Dan, akhirnya berhasil juga. Rakit itu tebal dan berat. Namun, apabila dicampakkan ke dalam air, masih bisa mengapungkan diri. Dimulai dengan saya yang paling kecil, diikuti oleh Akak dan Abang. Nampaknya, rakit ini masih mampu bertahan di permukaan air. Akhirnya, tibalah giliran Abah untuk turut serta dalam misi berakit kami. Alangkah riang gembiranya kami ketika itu. Tiba-tiba kami semua membisu, seolah-olah ada yang tak kena. Punggung terasa dingin dan berair. Oh, tidak! Rakit kami tenggelam dek kerana Abah yang terlalu berat barangkali. Terpaksalah kami berputih mata melihat rakit batang pisang yang separa tenggelam di dalam parit.

Abah biasanya menunaikan solat dengan hanya sehelai kain pelekat dan tidak berbaju. Kami yang masih nakal dan tidak mengerti apakah yang sedang Abah lakukan, sakan bermain di sekeliling Abah. Entah dari mana datangnya idea nakal Abang pada malam itu untuk mengenakan Abah. Emak yang datang kerana terdengar hilaian ketawa kami turut geli hati melihat apa yang sudah Abang lakukan. Manakan tidak, boleh pula Abang mengambil tuala lalu diselitkan di pinggang kain pelekat Abah. Dan menjerit kuat,

“Cepat, cepat tengok! Abah dah ada ekor”

Tetapi, nasib tidak menyebelahi kami. Semua keindahan itu dirampas, hilang sekelip mata.

Gelak ketawa kami bersama Abah tidak lama. Kerana, kini kami sudah berjauhan. Saya yang masih mentah, belum pun bersekolah tidak mampu mengerti apa-apa. Tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Yang pasti, sejak kecil lagi saya tidak membesar bersama Abah.

Walau ada desas-desus yang mengatakan Abah begitu dan Abah begini, dia, tetap Abah. dari Abah saya terhasil, dan Abah jugalah yang akan mewalikan saya. Kami masih berjumpa, namun terlalu jarang untuk itu. Memandangkan Abah sudah berkeluarga, dan kami semakin renggang.

“Assalammualaikum, boleh saya bercakap dengan Abah?”

“Dia tak ada!”

Lalu ganggang diletakkan begitu sahaja. Itulah jawapan yang sering kami terima setiap kali nombor diketik. Kami mencuri masa untuk menumpang kasih Abah. Walaupun mungkin ada sikap Abah yang tidak menyelesakan kami, bukankah kita semua sama? Hanya manusia biasa yang turut mempunyai salah dan silapnya.

Kini, kami telah dewasa. Sudah panjang akal dan langkahnya yang mampu befikir akan segala macam cara demi bertemu dengan seorang bapa. Tiada lagi sambutan kehadiran kami dengan lemparan lampin pakai buang, pinggan mangkuk, besen dan sebagainya. Sebaliknya, kami sudah mampu duduk di atas kerusi yang empuk dan selesa, di bawah keredupan pohon, dipukul sepoinya angin.

Jika ingin diceritakan segala perjalanan hidup kami bersama Abah, tidak terkira panjangnya. Cukuplah di sini. Saya pasti, setiap yang lahir di dunia ini mempunyai seorang bapa. Namun, mungkin perjalanan hidup kita merentasi masa bersama bapa itu berbeza. Walau bagaimanapun ia, dia, tetap bapa.

Kelak, ada di antara kita yang akan turut bergelar Ayah, Abah, Papa dan sebagainya. Jagalah anak-anak kamu, didiklah mereka sebaik-baiknya dan hargailah setiap perhubungan yang terjalin. Walau berjauhan, walau sudah tiada ikatan yang sah, hakikatnya, untuk selama-lamanya, bapa tetap bapa yang mustahil untuk diputuskan talian itu.

Dan ingatlah, jika kamu bernasib lebih baik dari saya, ketahuilah bahawa kamu itu antara orang yang bertuah, mampu merasai kasihnya seorang bapa dan kasihilah dia seadanya. Jangankan sekecil-kecil perkara, kamu rajukkan, kamu berontak. Kerana kelak, kamu akan menagihinya.

Jika kamu senasib dengan saya, kita masih lagi dalam golongan bertuah. Kerana masih diberi peluang untuk merasai kasih seorang ayah, walau ianya hanya sekadar menumpang waktu. Janganlah menyimpan dendam walau sekelumit, kerana dia tetap bapa kita.

Jika kamu bernasib lebih malang dari saya, usahlah kamu tangiskan. Kerana, kamu masih bisa menjadi anak soleh dan solehah dengan mendoakan untuk mereka.

Kadang-kadang kita lupa, dialah yang berjaga siang dan malam, yang mengkendong kita walau lenguh tangannya, yang memaksa diri demi satu nafkah, yang melaungkan azan sebaik sahaja kita menjengah indahnya dunia, yang tidak pernah putus berharap agar kita menjadi manusia sebaik-baiknya. Di hayat begini, di kala mereka mengimpikan nikmatnya seorang anak, kita membiarkan mereka bermain dengan pedihnya rasa. Jika setiap manik jernih itu mampu diseka, adakah luka hati mereka sudah sembuh? Dan, kita hanya akan melukut di kuburan, menjerit hiba setelah dia tiada. Itukah kita?

Buat Si Bapa, kasihilah setiap anakmu, buat Si Anak, kasihilah setulusnya bapamu, selagi hayat diakandung badan, selagi nafas masih terhela, selagi nadi masih berdenyut. Kerana, mereka adalah anugerah yang tidak tertanding nilainya.

26 comments:

~*puding caramel*~ said...

salam

sangat menyayat hati.
saya menangis membaca tulisan ini
semakin dewasa terasa semakin jauh dengan ayah. T_____________T

Permata Nusantara said...

iliana...

pilu saya membaca entri kamu kali ini...saya sangat setuju dengan luahan tulisan kamu...

setiap ayah punya tanggungjawab..pun begitu anak juga punya tanggugjawab pada si ayah.....kedua-duanya tak kan terputus hubungannya hingga ke akhirat kelak...

biar apa pun terjadi 'Dia tetap Ayah'...hormati dan kasihi serta doakan lah kesejahteraannya....insyaallah kebaikan bersama kita...(^_^)

pencinta bahasa said...

salam..

entry ini membuat saya lebih bersyukur kerana sentiasa didampingi oleh seorang ayah. bagi sesiapa yang mempunyai seorang ayah di sisi mereka, jangan sesekali menjauhkan diri dengan mereka. jangan sesekali memberontak. Sentiasalah bersangka baik kepada mereka kerana ia adalah wajib dalam Islam.

neem said...

salam..

saya dari kecik dah jauh dengan ayah..

skrg dah nak umur 20.. ketika umur 12 saya dah belajar kat m'sia. ayah dan mak kat bangkok.

kalu kawen nnt, nak kat bangkok. At least kawen depan ayah..di kampung beliau..

rindu beliau!

BalQis said...

Uh, luahan hati ini. Terima kasih Iliana kerana sudi berkongsi. Betapa beratnya mahu dinukilkan dalam sebuah entrikan? Saya terkesan.

Indahnya hidup apabila sentiasa dapat berpaut pada kasihnya ayah dan ibu. Tetapi, kadang-kadang nilai dan harga sebuah kasih sayang itu sering terlupakan dek hambatan jarak, masa, keadaan dan tugas yang tidak menentu.

Pun begitu - yang pernah mendodoikan kita, pernah memegang eratnya tangan kita waktu melintas jalan, pernah menidurkan kita waktu malam, pernah menyuapkan kita makanan, dan pernah melontarkan butir-butir nasihat walau dalam nada tegas - setiap itu, setiap itu semua adalah manifestasi cinta dan sayangnya ayah suatu ketika dulu yang berbekas di hati sehingga hari ini.

Tak terbanding!

Kasih ayah tak terbanding!

p/s: Untuk entri ini, saya menyokong kamu, Iliana! ^_-

iliana said...

--> puding caramel
salam kembali ^^
(errrr...janganlah menangis ya)
mungkin semakin jauh dari segi jarak kilometer, tapi semakin dekat dari segi jarak hati nurani. insyaallah~

--> Permata Nusantara
dalam hidup, tiada yang lebih manis jika kita turut memberi kan. kadang-kadang, kita terlalu fikir mudah hinggakan lupa siapa dia, siapa kita. lupa yang dia adalah nikmat paling berharga. kerana, kita hanya ada seorang ayah. hilangnya, mustahil untuk diganti.

iliana said...

--> pencinta bahasa
salam kembali ^^
bersyukurlah dan hargailah mereka sementara masih ada. anda mungkin bernasib baik kerana masih diberi peluang untuk membalas segala budi seorang ayah lalu melihat senyumnya.

--> neem
salam kembali ^^
walau jauh, jika bisa disampaikan di angin lalu, insyaallah akan dirasai juga sayangnya kamu kepada dia. semoga tercapai impian kamu ya. amin~

Iliana said...

--> Balqis

saya berfikir agak panjang untuk menulis entri ini. lama juga saya edit untuk mengurangkan ketaraan rasa hati saya hehe (malu nak tunjuk emosi sebenar)

jika kita menulis dan dituruti dengan keikhlasan, insyaallah akan dirasai semua juga. niat saya, dengan harapan, semua orang sedar bahawa kita hanya ada 'SATU' ayah sahaja. adakah berat untuk kita menghargai yang 'SATU' itu?

mungkin ayah kita penjenayah, mungkin ayah kita diktator. tapi, dia tetap ayah. laksanakan tanggungjawab kita sebagai anak.

errr...panjang pula balas komen kamu.

p/s : terima kasih banyak (^_^)

Farid Rashidi said...

Salam,

Kesabaran itu sangat-sangat kita perlukan saat berhadapan rundung sedih semalam. Tidak semuanya indah, ya bumi itu sememangnya punya pelbagai rasa dan situasi.

Orang di selatan bahagia, orang utara bersedih, orang timur bergembira..dan semua itu akan berputar..

Saya harap kamu terus bersabar ya. Itu yang terbaik.

Farid Rashidi said...

Salam,

Kesabaran itu sangat-sangat kita perlukan saat berhadapan rundung sedih semalam. Tidak semuanya indah, ya bumi itu sememangnya punya pelbagai rasa dan situasi.

Orang di selatan bahagia, orang utara bersedih, orang timur bergembira..dan semua itu akan berputar..

Saya harap kamu terus bersabar ya. Itu yang terbaik.

Iliana said...

salam kembali akhi ^^
kesabaran itu sentiasa menemani diri. walau apa yang terjadi, dia tetap Ayah saya, yang akan saya hargai selama-lamanya. insyaallah

izman said...

sayu aku baca entry kamu ni. apapun he is a great father, right!

Iliana said...

great father because of having the great children hehe..

mungkin itu nasib saya. seharusnya saya ikhlas menerima. macam dalam slot cerita 'Ku Terima Segalanya' di TV3 ^^

p/s : semoga jadi bapa mithali ya En.Izman

SomeOne said...

if i were in your shoes sis.
be strong ya.
everything will be ok.
keep smiling.

FdausAmad said...

Gua nak jemput lu dtg kenduri kat blog gua.
Follow terus pun xpa.Ikut baca doa.

Blog gua tu dah tak seimbang.Ramai budak berat belah punk.

Gua dah 6 hari merantau jemput kenduri ni.

zafi said...

yeah
hormati dan sayangi ayah kita
doa banyak moga dilimpahi rahmat!
take care!

iliana said...

--> SomeOne
hye to mr/ms SomeOne..thanks for droping by.
i also think about the same thing : if i were in your shoes, i will do as well as i can to my dad

--> FdausAhmad
oh, saya sudah turut menyertai kenduri saudara
terima kasih singgah dan jemput saya ^^

--> Zafi
hormat mereka seadanya. insyaallah akan sentiasa menjaga diri..
take care too

kuIna LadyInRed said...

dear, wlu apapun dia tetap seorng bapa yg baik... percayalah... berdoalah utk dia.. darahnya msh mengalir dlm tubuh kamu.

take care..

13may said...

oh! hari ni hari bapa :)

Syahidah said...

salam.sabar ya.

pesan saya cuma satu. biar apa pun yang berlaku, berusahalah untuk selalu berhubung kerana ayah tetap ayah. moga terus beroleh kekuatan untuk itu.

Cik Qemm said...

salam,

jarang2 orang seperti kamu.berjauhan dengan ayah dan masih menyayangi sepenuh hati. kebanyakan terus membenci.

saya bersyukur mempunyai ayah sentiasa di sisi.buat kamu, saya pasti ayah kamu sangat menyayangi kamu.dan dia bertuah mempunyai anak seperti kamu.

salam.

Iliana said...

--> Kuina Ldyinread
darahnya sentiasa mengalir, sama seperti mengalirnya kasih sayang saya kepadanya

--> 13May
oh, lamanya tak dnegar khabar berita hehe

--> Syahidah
mudah-mudahan proses perhubungan itu sentiasa dipermudahkan. amin~

--> Cik Qeem
salam ^^
semoga saya tetap mampu menjadi seorang anak yang solehah walaupun dalam keadaan sebegini. amin~

Iliana said...

salam setinggi-tinggi penghargaan dan kasih dari saya kepada semua (^_^)

Syahidah said...

insyaallah dipermudahkan. niat yang baik tu

Rantong said...

Sekadar nasihat & peringatan sesama muslim.

Berhat-hatilah bilamana menulis blog. Tulis dengan ilmu & iman.

"Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu berdosa, dan janganlah kamu mengintip, mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Apakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani. " (Al Hujurat ayat 12)

View Profile: Rantong™

Kasawari said...

menyayat hati sungguh...